Latar Belakang Kampung Sungai Bangat:

Kampung Sungai Bangat merupakan...

Tuesday, October 13, 2009

~Asal Usul Kampung Sungai Bangat~



Sejak seratus tahun yang lalu, Kampung Sungai Bangat sudah pun telah wujud di Pulau Labuan. Sebelum Kampung Sungai Bangat diberi nama, kampung ini dikenali sebagai Kampung Dusun kerana kebanyakan penduduk kampung merupakan orang dusun yang majoritinya berhijrah dari Brunei.


Menurut Pn. Dayang Kuning (70 tahun), pembuka tanah kampung berasal dari Limbang yang berkaum dusun tutung. Sebelum kedatangan orang Jepun pada tahun 1941, penduduk di kampung ini tidak ramai. Selepas pemerintahan orang Australia dan Amerika (kira-kira 1947), penduduk kampung barulah semakin bertambah ramai. 

Menurut orang yang paling tua dalam kampung, iaitu En. Haji Dullah bin Awang Besar (generasi ketiga pembuka tanah kampung), pembuka tanah kampung ialah En.Sagun. Kubur-kubur nenek moyang pembuka tanah terdapat di Kampung Sungai Bangat juga. 

 (En. Haji Dullah bin Awang Besar berumur 87 tahun dilahirkan pada 9hb April 1922 amat terkenal di kampung. Beliau mempunyai ingatan yang amat bagus dan mempunyai 7 kelas lesen memandu.) 







Kubur-kubur pembuka tanah boleh dikatakan seumpama antik bagi Kampung Sungai Bangat. Patung-patung ukiran yang berbeza merupakan keunikan kubur-kubur tersebut.

Asal usul nama Sungai Bangat ini ialah daripada sebatang sungai yang mengalir melintasi kampung ini,menghala ke Sungai Kina Benua dan terus mengalir ke lautan besar. Pada masa itu, air sungai tersebut mengalir dengan deras dan ia merupakan laluan penting bagi peniaga-peniaga. Dengan itu, timbulah perkataan "bangat" yang bermaksud deras (dalam bahasa dusun) maka termaktublah perkataan Sungai Bangat dan sehingga sekarang nama kampung ini ialah Kampung Sungai Bangat, Wilayah Persekutuan Labuan.


Menurut En. Haji Dullah, semasa rebutan kuasa di antara orang Jepun dengan Australia dan Amerika, kampung ini merupakan tempat berkumpul orang Jepun. Rumah Gabenor Jepun pada masa itu masih terdapat di Kampung Sungai Bangat sekarang. Pada masa itu juga, Kampung Sungai Bangat pernah dibom dan telah meninggalkan 4 lubang bom besar di kampung. 

 Sesetengah lubang besar yang tertinggal itu sudah dijadikan perigi, dan adanya sudah ditimbus tanah.